Kerjaya Deborah Priya Henry

Pada tahun 2007, Deborah telah menyertai pertandingan Miss Malaysia dan telah dinobatkan sebagai juara serta dimahkotakan oleh Miss Malaysia World 2006, Adelaide Choo. Dengan kejayaannya itu, beliau telah mewakili Malaysia ke pertandingan Miss World 2007 yang telah diadakan di Sanya, China. Deborah merupakan antara peserta yang digemari dan menjadi pilihan untuk merangkul gelaran wanita tercantik di dunia itu. Sepanjang pertandingan Miss World itu, Deborah telah berjaya menempatkan dirinya di antara peserta yang mendapat markah tertinggi dalam kategori 'Best Body' dan 'Miss Sport'. Pada malam kemuncak pertandingan ini, Deborah telah berjaya melayakkan dirinya ke peringkat separuh akhir (Top 16).[4] Deborah merupakan wakil Malaysia yang keenam berjaya melayakkan diri ke peringkat separuh akhir dalam pertandingan Miss World sejak Malaysia menghantar wakil ke pertandingan itu pada tahun 1963. Kali terakhir Malaysia melayakkan diri ke peringkat separuh akhir sebelum Deborah ialah pada tahun 1998, ketika Malaysia diwakili Lina Teoh yang berjaya mendapat tempat ketiga secara keseluruhan. Pencapaian Lina Teoh merupakan pencapaian terbaik Malaysia dalam pertandingan ratu cantik di peringkat antarabangsa. Malangnya, pada malam kemuncak Miss World 2007, Deborah telah gagal melayakkan dirinya ke peringkat akhir. Peserta dari China, Zhang Zi Lin telah dinobatkan sebagai Miss World 2007 diikuti dengan Angola dan Mexico masing-masing berada di tempat kedua dan ketiga.

Selepas pertandingan Miss World berakhir, Deborah bergiat aktif dalam pertubuhan amal, bidang peragaan dan juga dalam bidang pengacaraan. Deborah merupakan salah seorang daripada hos rancangan 'Bella' di samping Elaine Daly (bekas Miss Malaysia Universe 2003) dan Daphne Iking yang disiarkan di ntv7.

Pada Januari 2011, Deborah telah memenangi gelaran Miss Universe Malaysia 2011.[5] Beliau seterusnya mewakili Malaysia ke pertandingan Miss Universe 2011 yang diadakan di Sao Paulo, Brazil pada September. Melalui laman-laman web mengenai pertandingan Miss Universe 2011, Deborah merupakan antara peserta kegemaran untuk memenangi gelaran ratu Miss Universe 2011. Beliau sering menjadi antara 15 orang peserta yang dijangka akan berjaya ke peringkat separuh akhir dalam pertandingan ratu cantik itu.[2] Deborah juga telah dinobatkan sebagai Miss GB Universe 2011 oleh laman web yang membincangkan perihal pertandingan ratu cantik di peringkat antarabangsa iaitu Global Beauties. Malangnya pada malam kemahkotaan Miss Universe 2011, Deborah tidak terpilih sebagai 16 peserta peringkat separuh akhir. Berita ini amat mengejutkan pelbagai pihak terutama sekali penduduk Malaysia, pakar-pakar pertandingan ratu cantik, tidak ketinggalan juga bekas Miss Universe 2005, Natalie Glebova dari Kanada. Miss Angola, Leila Lopes telah dinobatkan sebagai Miss Universe 2011 sekaligus menjadi wanita pertama dari negara itu yang memenangi gelaran itu mengalahkan 4 lagi peserta peringkat akhir iaitu Ukraine, Brazil, Filipina dan China.

Rujukan

WikiPedia: Deborah Priya Henry http://beautyroyals.beautymania.biz/2011/06/miss-u... http://www.budiey.com/sekitar-suprise-birthday-par... http://www.deborah-henry.com/ http://www.missworld.com/bio/bio.sps?iBiographyID=... http://thestar.com.my/news/story.asp?file=/2007/12... http://thestar.com.my/news/story.asp?file=/2011/1/... http://www.thestar.com.my/news/nation/2017/02/27/d... http://web.archive.org/web/20071025033813/http://w... http://www.rosengurtt.co.uk/events_parties/contest...